Jumat, 14 Juni 2013

PERANG TABUK ( JAUHI SIFAT MUNAFIK )

بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Dalam banyak-banyak perang yang disertai Rasulullah SAW, hanya perang ini yang boleh membezakan antara orang yang benar-benar beriman dan golongan munafik.

Punca berlakunya perang ini adalah kerana kerajaan Rom yang mengumpulkan pasukan perang untuk memerangi Rasulullah SAW dan kerajaan Islam di madinah.

Apa yang menjadikan perang ini menampakkan siapakah yang munafik disebabkan oleh;

1. Musim menuai buah-buahan tamar;
2. Cuaca yang sangat panas dan terik;
3. Perjalanan jauh dan sukar;
4. Menghadapi tentera Rom yang besar dan gagah.

Disebabkan 4 cabaran di atas, hanya orang-orang yang benar beriman dan taat kepada Rasulullah SAW sahaja yang sanggup keluar untuk berjihad.

Perjalanan yang hendak dituju oleh muslimin, dinyatakan dengan terang-terangan, tidak seperti ketika perang-perang lain. Hal ini kerana, peperangan yang berlaku sebelum ini turut disertai oleh puak munafik yang akan membocorkan rahsia perjalanan kepada pihak musuh. Selain itu, Baginda juga hendak memberi peluang kepada muslimin mempersiapkan diri dan jiwa dari segi mental dan fizikal.


MUNAFIKIN DATANG MEMBERI ALASAN
"Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada yang berkata: Izinkanlah aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah engkau menjadikan daku dipengaruhi oleh fitnah. Ketahuilah, mereka telah pun tercebur ke dalam fitnah (dengan dalihan yang dusta itu) dan sesungguhnya azab Jahanam meliputi orang-orang yang kafir."

(Surah At-Taubah, ayat 49)

Puak munafikin membuat alasan tidak mahu ke medan jihad kerana dibimbangi akan terkena fitnah. Fitnah yang dimaksudkan di sini ialah kecantikan wanita-wanita Rom yang mungkin dapat menggoda mereka.

Ada juga yang memberi alasan cuaca terlalu panas.

Malah, lebih dahsyat lagi, puak munafikin ini berkumpul bersama-sama tentera Islam yang lain untuk menghasut dan mempengaruhi orang lain supaya turut meninggalkan medan jihad. Mereka mengejek-ngejek para sahabat dan Rasulullah SAW, kerana bagi mereka, Rom tidak mungkin dapat dikalahkan.

Sepatutnya, orang yang tidak dapat mengikut berjihad akan berasa sedih. Sebaliknya mereka menzahirkan rasa gembira seperti firman Allah SWT,
"Orang-orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah) dan mereka (sememangnya) tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya) dan mereka pula (menghasut dengan) berkata:

Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini. Katakanlah (wahai Muhammad): "Api Neraka Jahanam lebih panas membakar", kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami."

(Surah At-Taubah, ayat 81)

MASA SINGKAT, TAK SEMPAT?

Berkat kesabaran dan ketabahan muslimin, Allah SWT menggantikannya dengan menimbulkan rasa gerun didada musuh. Maka, tentera Rom lari bertempiaran meninggalkan medan perang.

Muslimin mendapat kemenangan dengan kesabaran mereka. Tiada pertempuran berlaku.

Malah, kerajaan Rom menghantar gabenornya untuk berdamai dan membayar jizyah.

Oleh itu, masa peperangan dapat disingkatkan kerana tiada lagi pertempuran. Dan, Rasulullah SAW segera pulang ke madinah setelah membahagikan harta rampasan perang kepada orang-orang Islam di Makkah.

Dukacitanya, terdapat muslimin yang tidak menyertai peperangan itu, kerana mereka menjangkakan perang itu akan berlanjutan hingga berbulan-bulan lamanya. Niat mereka akan menyusul Rasulullah SAW ke medan perang setelah selesai menuai hasil buah tamar.

Mereka tergolong dalam golongan yang tidak menyertai medan jihad.

Terdapat 80 orang munafik dan 3 orang sahabat yang tercicir.

Namun, Rasulullah SAW tidak segera memaafkan 3 orang sahabat iaitu;

1. Kaab bin Malik;
2. Marrarah bin Ar-Rabie';
3. Hilal bin Umaiyah.

Pada mulanya, mereka bercandang untuk mencipta alasan, tetapi sebaik sahaja berada dihadapan wajah Rasulullah SAW, niat jahat mereka itu terpadam serta merta. Hanyalah lisan yang benar dan jujur dilafazkan.

"Aku sebenarnya mampu mengikut kamu berjihad."

 WAHYU PEMULAUAN

3 orang sahabat yang tidak turut serta dalam peperangan, diperintahkan supaya dipulaukan. Tiada seorang pun dibenarkan untuk bercakap-cakap dengan mereka. Hidup mereka seperti di perantauan, tiada yang mengendahkan apa lagi mengambil berat hal mereka.

Ketiga-tiga sahabat berasa sedih atas perintah itu, namun apakan daya, itu perintah Allah dan RasulNya.

Mereka bertaubat kepada Allah SWT atas dosa-dosa mereka, bersungguh-sungguh. Sehingga, Kaab menerima sepucuk surat daripada Raja Ghassyan.

"Khabarnya kamu dipulaukan oleh kaummu sendiri. Datanglah ke negara Beta. Beta akan memberi kebebasan kepadamu."
Namun, surat itu dibakar segera oleh Kaab. Baginya, itu hanyalah dugaan yang akan memberinya lebih banyak kecelakaan andainya termakan dengan hasutan itu.

Setelah 40 hari berlalu, Rasulullah SAW melarang mereka duduk bersama isteri. Jika dahulu mereka boleh meluahkan perasaan bersama isteri, namun, kini mereka duduk tanpa berteman.

Pada hari subuh yang ke 50, kedengaran laungan, 'Wahai Kaab, ada berita gembira!'.

Mereka segera sujud syukur.

Taubat mereka diterima Allah SWT.
"Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan) dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadaNya; kemudian Allah (memberi taufik serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dialah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani."
(Surah At-Taubah, ayat 118)

HIKMAH PEMULAUAN

Mengapa hanya 3 orang sahaja dihukumkan oleh Rasulullah SAW supaya dipulaukan?

Sedangkan 80 orang munafik tidak dihukum. Golongan munafik datang mencipta 1001 alasan dan Rasulullah SAW tidak melakukan apa-apa hukuman. Rasulullah SAW tidak mengetahui apa yang sebenarnya berada di dalam hati mereka.

Hal ini kerana taraf si munafik sama seperti orang kafir.

Mengapa perlu dihukum orang kafir di dunia, kerana azab di akhirat sudahpun menanti mereka?

Na'uzubillah.

Semoga Allah SWT membersihkan jiwa kita daripada sifat kemunafikan.
ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَٰلَمِين

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Terima kasih telah berkunjung dan silahkan berkomentar..
semoga bermanfaat

toko Online

Tokoina - Pusat Jual Beli dan Info Peluang Usaha
Hosting Gratis